Jawapan :
Buah dan sayur mengandungi karbohidrat dalam bentuk serat larut air dan serat tidak larut air. Antaranya oligosakarida, fruktan dan selulose.
Bahan ini terdiri dari ikatan kimia alfa-galaktosil dan beta-glukosidik. Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna ikatan kimia ini.
Badan manusia boleh mencerna karbohidrat yang diikat dengan ikatan glukosidik alfa.
Bakteria akan mengambil alih tugas mencerna karbohidrat yang tidak boleh dicerna ini.
Usus kecil dan usus besar kita mengandungi banyak bakteria.
Bakteria ini akan menghasilkan gas hidrogen dan metana sebagai hasil sampingan.
Keadaan ini menyebabkan sesetengah orang akan mengalami kembung perut dan rasa seperti ketat dada kerana ketidakhadaman makanan.
Sebenarnya makanan tidak berangin, sebaliknya angin yang dialami oleh individu tertentu disebabkan oleh gas yang dihasilkan oleh bakteria yang mengurai makanan yang tidak tercerna dengan baik di dalam usus.
Setiap individu mempunyai toleran yang berbeza terhadap karbohidrat ini.
Kenapa ada yang rasa kembung tetapi ada yang tidak bila makan buah dan sayur tertentu?
Jawapannya, flora mikroorganisme di dalam usus adalah berbeza antara individu. Dan flora ini dipengaruhi oleh gaya hidup dan keturunan.
Selain mikroflora yang berbeza, mungkin saja dia mengunyah makanan sampai hancur, makan perlahan dan minum banyak air.
Tetapi jika sakit sehingga menganggu urusan harian, berjumpalah dengan doktor dan bincanglah masalah anda.
Malah ada di antara ketidakhadaman ini disebabkan masalah kesihatan seperti tidak toleran kepada gluten, alahan pada makanan, dan irritable bowel syndrome.
Masalah kesihatan ini memerlukan kepada pengesahan oleh doktor yang merawat.
Adakah saya perlu mengelakkan sayur-sayuran dan buah-buahan?
Sebenarnya badan kita memerlukan serat larut air dan serat tidak larut air untuk kesihatan usus, selain dari nutrisi lain yang dibekalkan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Badan kita memerlukan serat dan karbohidrat pada kuantiti optimum. Apabila pengambilan serat tinggi, pengambilan air juga harus tinggi.
Ingatlah, makanan tidak berangin.
Penafian: Ini adalah tulisan umum tentang kimia tumbuhan dan kimia makanan.
Tidak terpakai kepada pesakit yang perlu elakkan sesetengah buah tropika sebab diet khas seperti pesakit jantung, pesakit buah pinggang, dan lain-lain. Ikut nasihat doktor anda.
– Dr Che Puteh Osman
